Ditakdirkan bertemu jodoh walaupun hari hampir senja, begitulah ibaratnya semasa saya ingin membuat CNR keatas baki umpan hidup yang telah secara tidak sengaja terlupa untuk melepaskan setelah outing pada sebelah pagi yang tidak menyerlah langsung.
Memandangkan kepada 25.12.13 adalah cuti umum, semua ahli IAT dan associate lain tidak berupaya untuk aksi cuti umum kerana komitmen terhadap tugas dan aktiviti lain. Maka saya memberanikan diri untuk aksi solo sebagaimana suatu masa dulu.
Berbekalkan semangat umpama minyak petrol yang penuh dalam tong minyak yang dibawa, saya menghala lubuk umpan seperti biasa. Umpan tidak begitu sukar didapati sementalahan pula air agak keruh. Dasar laut juga agak bersih setiap kali jala ditarik dari dasar. Cuma kelihatan umpan yang diperolehi akag kecil yang rata-rata ' udang sagu' kata para nelayan di daerah Sipitang.
Berpuas hati dengan umpan yang diperolehi sekitar 60 ekor jumlahnya saya menuju ke lubuk yang dihajat. Namun keadaan air yang kelihatan tidak menentu dengan arus yang deras seperti berlaku banjir tidak meemungkin tangkapan yang lebih baik pada hari berkenaan. Malah ikan seakan turut bercuti dek kerana sambutan Christmas. Dengan hanya tangkapan sebesar tiga ibu jari sebanyak dua ekor, saya CNR kan di jeti/pangkalan untuk meneruskan spesis akan datang bertambah.
Walau bagaimanapun disebabkan oleh keletihan akibat aksi solo untuk mengangkat segala peralatan, saya terlupa dengan umpan yang masih berbaki di dalam bekas umpan. Nasib baik cuaca tidak begitu panas pada hari berkenaa, yang membolehkan umpan berkenaan masih boleh terus hidup hingga ke petang.
Pada sebelah petang setelah teringat umpan yang masih berbaki di dalam bot, saya memutuskan untuk merendam pancing di JPPS yang telah lama tidak diduga/lawati. Dengan hanya mengambil 4 daripada puluhan ekor udang yang masih ada, saya mencuba nasib. Dengan paras rupa udang hidup yang begitu menggiurkan, saya tidak perlu menunggu lama untuk sang ungah aka MJ terliur. Dengan kekuatan kekili dari Abu Garcia joran saya ditarik deras. "INI KALI LAH" terdetik di hati saya. Namun kepintaran sang ungah serta tabiat ingin masuk ke reba, pancing tersangkut buat seketika. Kebijaksanaan membaca taktik kotor sang ungah, saya membiarkan tali dilepaskan sedikit demi sedikit, dan taktik ini berhasil apabila sang ungah cuba meronta untuk melepaskan diri berjaya ditarik keluar.....Kalau sudah jodoh.....dia pasti dimiliki....
Ternyata .. masih ada pukulan sang ungah meskipun JPPS telah lama terbiar tanpa belaian....