Wednesday, June 05, 2013

APA ISTEMEWA MEMANCING?

Seingat saya, saya terlibat dengan hobi memancing ini telah melebihi 10 tahun dengan bermula secara biasa-biasa sahaja sambil belajar mengenai ilmu memancing. Jika pada suatu masa dahulu pancing yang dibawa hanya gegelung pancing dengan mata kail boleh dikira manakala batu ladung tidak mengenal saiz sementelah pula tali pancing yang memang besar tidak kurang daripada 60 paun. Joran ketika itu jangan cakap lah kerana kemeriahan memancing belum seperti sekarang. Manakala jenama hanya biasa-biasa sahaja.

Dalam tempoh lebih 10 tahun bergelumang dengan pelbagai jenis cabaran di laut pesisir seperti hujan angin dan ribut selain cabaran fizikal dan mental telah diharungi. Bak kata orang pengalaman mendewasakan kita. Begitulah pepatah yang tepat mengenai hobi di laut ini diabadikan. Kalau dulu tidak mengenal apa jenis ikan ...kini sedikit sebanyak telah melaluinya...kalau dahulu gaya  tarikan ikan tidak diketahui...kini serba sedikit boleh diramal ikan jenis apa yang sedang menarik tali pancing ketika sedang bertarung. Antara ikan kerapu dengan ikan merah atau putih ada bezanya. Tarikan ikan tenggiri dengan ikan putih ada perbezaan. Ikan talang dengan ikan pari jauh berbezaannya gaya tarikan tali pancing...Semua ini adalah pengalaman yang berharga yang telah dilalui.

Kini penggunaan tali pancing  juga lebih terpilih berbanding dahulu cengan cap 'fisherman' dengan kekuatan yang sedehana. Rata-rata saya menggunakan tali berkekuatan 25 -30 paun sahaja, manakala penggunaan batu ladung pula adalah mengikut kekuatan arus air, malah dalam keadaan tertentu saya tidak menggunakan batu ladung langsung dan hanya memadai dengan menggunakan kekili atau swivel. 

Jika suatu masa dahulu penggunaan perambut tidak diambil kisah tetapi kini saya lebih senang menggunakan tali yang halimunan dalam air bagi mengelirukan ikan yang menjadi buruan. Kerap dijenamakan sebagai tali hantu di pasaran adalah tali perambut yang kerap saya gunakan. Bagi aktiviti trolling pula saya lebih fokus mengggunakan tali daripada monocarbon meskipun ia agak mahal. Tali jenis ini mempunyai kelebihan dari segi kekuatan dan tahan geseran.

Mata pancing pula dari sejak dahulu saya kurang menggunakan daripada jenis VMC. Saya lebih banyak menggunakan daripada steel atau carbon, walaupun kedua-duajenis ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Contohnya kekuatan steel adalah pada kurangnya untuk berkarat jika digunakan terlalu lama tetapi kekuatan ini menjadi kelemahan jika tersangkut pada takat dan sebagainya ia kerap menjadi korban di dasar laut. Carbon pula selain tajam dan ringan ia juga tidak berkarat. Kelemahan mata kail jenis karcon adalah ia boleh patah apabila bertarung dengan kekuatan ikan yang melampau.

Kelili yang banyak digunakan adalah yang kuat untukpertarungan ayang boleh menampung antara 30-35 paun dan tidak karat apabila kerap digunakan. Walau bagaimanapun, pada masa kini, agak sukar mencari kekili yang tahan karat kerana ia amat mahal dipasaran sekarang. Jenama Varivas adalah contoh yang boleh digunakan secara berulang-ulang kerana tahan karat dan pempunyai kekuatan tersendiri. 

Apapun yang digunakan dalam aktiviti memancing saya lebih memilih keseronokan ketika bermain dengan mangsa, contohnya kesesuaian antara joran, tali dan reel. Jika joran kecil reel besar tentu tidak begitu sesuai ketika melontar umpan. Begitu juga sebaliknya jika reel kecil dan joran berat juga tidak sesuai. Dalam mencari kesesuaian ini, saya telah melalui pengalaman yang agak lama dan pemerhatian dan serta percubaan demi percubaan.

Suatu masa dahulu saya mencuba untuk menceburi aktiviti trolling, walau bagaimanapun disebabkan cabaran dan keadaan berbeza dengan bottoming maka saya terpaksa berhenti sementara waktu. Begitu juga dengan aktiviti casting.

Sehingga ini dahulu perkongsian pengalaman untuk semua....

Tuesday, June 04, 2013

KERJA BERAT DI PESTA MENUAI

Dek kerana cuti sempena Pesta Kaamatan, segala perancangan untuk turun dengan ahli geng berubah apabila kesemua mereka terpaksa mengutamakan tugas berbanding hobi, apa tidaknya semua rakan yag merayakan telah mengambil cuti untuk memeriahkan sambutan. Akibatnya ahli geng terpaksa menggantikan tempat mereka sambil mendapat ganjaran kerja lebih masa untuk habuan pada hujung bulan nanti.

Disebabkan saya tidak terikat dengan cuti yang diambil oleh rakan lain, maka rancangan untuk turun beraksi saya teruskan meski pun solo. Yang menjadi masalah adalah semua kerja terpaksa dibuat sendiri antaranya menjala umpan, menjalankan motorbot (tekong) menariks sauh, dan sebagainya.

Yang menjadi masalah adalah bila sekejap-sekejap sauh terpaksa ditarik untuk menentukan kedudukan spot. Pada hari khamis saya tidak dapat turun dan menjalankan aktiviti jauh kerana cuaca yang amat mencabar iaitu berangin, berombak dan hujan. Kombinasi ketiga-tiga ini begitu mencabar dengan hujan yang agak kuat, angin yang boleh tahan juga menghasilkan ombak untuk melambung perahu.

Namun dengan kepercayaan rezeki ada dimana-mana, saya singgah di pancang sungai Sipitang dan ternyata ia tidak menghampakan kerana dengan segala kesukaran saya dapat menaikkan tidak kurang 3 kg ikan tanda si ketambak.

Manakala pada Sabtu, cuaca agak baik awal pagi tetapi tetap suram apabila pencarian umpan yang sesuai terhalang disebabkan oleh air sungai yang banjir akibat hujan. Perubahan suhu air yang sejuk dan tawar menjadikan udang amat sukar dicari.

Dengan kudrat yang ada saya beredar dari satu lokasi ke satu lokasi, dan hasilnya hanya udang hidup bersaiz kecil untuk hidangan si ikan putih pada hari berkenaan. dipendekkan cerita tidak lebih 50 ekor yang dapat dijala dan terus beredar ke lokasi.

Cabaran awal dilokasi prima adalah menentukan  exact spot dengan tiupan angin yang agak kuat dan lambungan ombak yang mencabar fizikal. Berkat ketabahan tiga kali juga sauh terpaksa ditarik untuk menyesuaikan kedudukan. Hasilnya ikan putih bersaiz meja sebanyak 4 ekor dapat dinaikkan manakala 3 lagi rabut akibat tancapan yang longgar.

Berpuas hati dengan apa yang ada, saya kembali ke pangkalan sekitar jam 11 pagi.

 Hasil tuaian sempena pesta menuai 2013 walaupun tanpa tapai tapi tetap mabuk.....hehehe



Tapak tuaian di pancang sungai Sipitang