Thursday, November 20, 2014

HAMPIR SIAP

Melihat kepada keadaannya yang telah siap menanggung beban sebuah bot diatas nya saya yakin trailer yang sedang diusahakan telah hampir siap sepenuhnya. Saya mengambil kesempatan menghampiri tempat trailer ini dibina dan ternyata ia telah melebihi 95% siap. Mungkin pada hujung minggu ini ia akan dapat digunakan buat pertama kalinya...

Monday, October 13, 2014

LIFE MUST GO ON

Sejak seminggu lalu, hujan dan ribut melanda negeri Sabah dan banyak kawasan digenangi air akibat bah dan tanah runtuh di sana sini. Minggu lalu juga berakhirnya kisah hayat seorang ahli IAT yang  meninggal dunia akibat penyakit misteri setelah mengalami serangan stroke buat  kali kedua. Maknanya GENG IAT kehilangan seorang ahli dalam aktiviti memancing. Kehilangan yang cukup dirasa apabila ada aktiviti memancing terutama sekali semasa singgah di lubuk yang kami sama-sama harungi semasa hayatnya. Kini dia hanya tinggal kenangan. Apa pun bak kata orang putih 'life must go on"

Pada cuti hujung minggu lalu saya terpaksa beraksi seorang diri kerana tidak ada ahli IAT yang aktif seperti saya. Seorang telah meninggal dunia, seorang masih lagi dalam proses pemulihan setelah sakit teruk akibat serangan kuman kencing tikus. Manakala seorang lagi sibuk dengan tugas harian.

Menyedari telah seminggu cuaca yang tidak menentu, saya merasakan ikan begitu frenzy kerana kekurangan makanan akibat ribut. Saya memulakan pencarian umpan di laut sg Buntu, namun amat sukar dicari. Di laut dan muara sungai Padas pula terlalu sejuk kerana banjir melanda sunai berkenaan.

Dengan kepayahan, memberanikan diri menggumpul sekitar 30 ekor udang hidup untuk bekal kepada ikan yang telah kelaparan selama seminggu. Dengan saiz yang dikira kerdil, itulah dijadikan sebagai bekal pagi berkenaan.

Lubuk pertama hanya ketambak batu sudi kerana tanda 'lawa-lawa' yang sebelum ini menjadi tempat kali bercengkarama telah 'hilang' dari kawasan berkenaan. Berpindah ke 'lubuk pancang tanda sungai' juga tidak membawa apa-apa perubahan. Ini adalah kerana perubahan arus yang sedang naik begitu deras dengan air yang amat keruh. Keputusan diambil untuk menduga lubuk batu mandi. Tidak sampai 10 minit menunggu sambaran-sambaran kecil bermula. Walaupun telah lama tidak menikmati tarikan sedemikian, hati kurang teruja kerana saiz sedemikian memang menjadi mainan belaka suatu masa dulu.Walau bagaimanapun.....tiba-tiba pancing ABU GARCIA extreme cast berbunyi  dan joran melengkung abarat pokok kelapa ditiup ribut...ini menandakan ia diasak hebat dari sang pemangsa dari bawah. Tarikan yang mengalahkan Usain Bolt terdetik dihati bahawa ini sah memang tarikan berbisa daripada si ikan putih apatah lagi apabila bot dijadikan ibarat lumba 800 meter dan tawaf mengelilinginya. Setelah hampir 360 darjah, kelihatan kelibat  pujaan hati siikan putih. Dengan pertarungan baik sedikit daripada yang sebelumnya...sah ia seberat 1 kg menjadi mangsa ABU GARCIA. Beberapa orang nelayan yang melintasi lubuk kami berkenaan turut memberi perhatian...
Itu adalah pertarungan hebat dalam bulan ini....




Disebabkan pancing telah lama rehat beberapa sambaran tidak dapat diselamatkan dalam misi kelmarin. Menyedari air bertukar dengan arus begitu kuat saya mengakhiri misi pada jam 9 pagi....

Monday, June 30, 2014

CUTI RAMADHAN

Puasa datang lagi, menandakan kebesaran Allah dengan memanjangkan usia pada tahun ini dengan bertemu lagi dengan Ramadhan Almubarak. Bersempana dengan bulan mulia ini, aktiviti memancing terpaksa dikurangkan disebabkan oleh keadaan cuaca yang panas boleh mengakibatkan badan kekurangan air dan dihidrasi. Jika kekurangan air dalam badan boleh mengakibatkan sakit dan merencatkan ibadah puasa.

Seperti biasa pada bulan Ramadhan, perkakasan memancing akan tersimpan sekurang-kurangnya untuk lebih 30 hari. Pada masa ini, peralatan memancing seperti reel diservis sebelum diasingkan dan dibungkus dengan elok bagi mengelakkan ia berkarat. Bagi saya, peralatan berkenaan telah disimpan kedalam kotak khas selepas diservis.

Tool box yang mengandungi banyak perlatan seperti batu ladung, mata pancing, kekili dan lain-lain peralatan tidak berkarat. Ini juga sudag disimpan rapi  supaya apabilakembali ke aktiviti pada selepasraya nanti senang diambil semula.

Dalam masa yang sama, joran juga telah disimpan dengan menanggalkan daripada seat masing-masing supaya tidak melekat akibat karat. Dengan menyimpan sedemikian, apabila aksi bermula pada awal Ogos nanti, tidak banyak karenah peralatan yang boleh mengakibatkan terbatalkan hasrat.

Kini dengan peralatan yang telah tersimpan kemas, tempoh masa sebulan untukberehat memberikan masa untuk ikan 'memulihara' keadaan kelak.

Selamat berpuasa...................

Wednesday, June 25, 2014

PUKULAN SABTU LALU



Ini adalah hero yang mengangkat piala utama.

Cuti semester di universiti membolehkan hero ini turut beraksi mencuba skill dan nasib. Nampaknya heroini mempunyai kedua-duanya walaupun bakat masih perlu diasah baggi memantapkan lahi teknik dan skill.

Tahniah..

Marhaban Ya Ramadhan....


Subhanallah, walhamdulillah, walaillawallahuakbar..Marhaban ya ramadhan almubarak...

Marhaban..ya marhaban Ramadhan Al Mubarak...kita rasa berssyukur bahawa kita masih diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Kita kita imbas kembali dengan persekitaran kita sejak Ramadhan lalu, berapa ramai antara kawan, sahabat dan rakan taulan termasuk saudara mara yang telah pergi mendahului kita....tetapi  Allah masih menyayangi kita dengan memberikan peluang untuk bertemu Ramadhan tahun ini.

Pertemuan tahun ini Allah memberikan kita peluang yang keberapa agaknya???atau peluang yan terakhir...

Jika para peniaga gedung besar telah terpampang dengan iklan raya, belumpun puasa dikerjakan...apa makna disebaliknya...maka kita sebagai mukmin harus mengerjakan yang wajib dahulu sebelum yang sunat...Puasa itu WAJIB....maka kerjakan lah yang wajib yang dijanjikan oleh ALLAh segala ganjaran yang tidak ternilai oleh kita...

Dalam masa yang sama bagi aktiviti lasak seperti memancing (aktiviti kegemaran) akan terhenti selama lebih kurang 5 minggu...bagi memberikan peluang kepada penghuni laut mendapat rehat sama seperti sistem tubuh badan kita.... In Sha Allah...dan mudah-mudahan ALLAH akan memberikan kita ganjaran yang sebaiknya sempena bulan kebeberkatan ini....maka ucapkanlah ucapan selamat berpuasa dan saling maaf memaafkan sesama insan ....

Thursday, June 05, 2014

PASCA PERISTIWA HITAM...

Selepas mengalami pengalaman pahit akibat bot rosak ditengah laut, beberapa minggu yang lalu, beberapa pengajaran dan pengalaman mengenai mechanical Yamaha 15 hp dapat dipelajari, sama ada dari segi bunyi engin dan response engin apabila dihidupkan atau dimatikan. Pengalaman ini amat berguna bagi mencari dan mengetahui masalah yang berlaku yang boleh mengganggu perjalanan dan rancangan semasa aktiviti di laut.

Kini eletrical parts telah dibuat semula dan dengan alat ganti yang baru dijangka engin ini akan boleh bertahan lebih daripada 5 tahun jika dijaga dengan baik.

Setelah 3 kali percubaan untukaksi di lautan ternyata ia seperti sebuah engin baru.....


Wednesday, May 14, 2014

KERINDUAN SEORANG TUA....

Rindu bukan hanya terhadap seorang kekasih....kepada seorang isteri atau suami dan anak-anak..tetapi juga kepada aktiviti yang memberi faedah dan bermanfaat seperti hobi memancing dan sebagainya.

Kiasan ini adalah barangkali yang saya dapat gambarkan terhadap salah seorang rakan, guru dan otai memancing saya yang telah lama berhenti daripada aktiviti ini.

namun atas rasa kerinduannya terhadap aktiviti ini manjadikan beliau aktif kembali untuk turut serta bagi setiap kali saya turun beraksi ke laut. Sikap saya pula saya tidak suka untuk mengecewakan haasrat orang lain. Atas dua kemahuan inilah kami masih beraksi dalam aktiviti memancing meskipun saya tidak melibatkan aktiviti extrem maksudnya casting dan jigging yang lebih banyak menggunakan aktiviti lasak dan memerlukan stamina lebih.

Setakat ini telah dua kali beliau turut serta dalam aktiviti memancing..

PENGAJARAN BERGUNA

Ahad lalu, adalah episod yang mungkin tidak dapat dilupakan dalam hudup sebagai anglers. Apa tidaknya apabila keseronokan memancing telah bertukar kepada tragedi sedih akibat kerosakan engin bot semasa dalam perjalanan pencarian umpan.

Kisahnya bermula apabila sudah empat kali berturut-turut turun dalam masa tiga hari. Dipendekkan cerita pada Ahad lalu, kami turun awal kerana masih ada saki baki umpana setelah umpan kami pada malam sebelumnya tidak habis digunakan. turun dengan baki umpan berkenaan  menjadikan kami berada dilokasi seawal jam 6 pagi. Akibat ikan fenzy di lokasi mengakibatkan umpan habis seawal jam 7 00 pagi. Merasakan terlalu awal untuk balik, kami mengambil keoutusan mencari umpan ke suatu lokasi lain dan terus berpindah ke lokasi seterusnya apabila umpan amat susah didapati. Dalam perjalanan berkenaan secara tiba-tiba engin Yamaha 15hp yang sudah berusia 10 tahun tiba-tiba seperti kuda patah kaki dan terhenti. Berbagai cara dicuba untuk menghidupkan namun semuanya gagal.

Dek kerana terlalu awal sekitar jam 8:30 pagi tidak ada seorang pun nelayan yang balik ke pangkalan. Kami tidak membuang masa sebaliknya berdayung bali  kepangkalan sekitar jarak 10 km dari pangkalan. Dengan berkat kesabaran kami mengambil masa 4 jam untuk sampai ke pangkalan dengan selamat menggunakan pendayung dan 'tanggar'. Pengajaran daripada peristiwa ini adalah, sekiranya kami bersyukur dengan tangkapan yang ada mengambil keputusan untuk balik awal, kami akan selamat sampai di pangkalan. Namun sebagai pengajaran ini adalah suatu pelajaran baik supaya lebih berhati-hati dan belajar dengan segala masalah engin yang perlu diketahui....

Thursday, May 08, 2014

JANJI YANG TIDAK DITEPATI....

Cerita ni berlaku minggu lalu apabila persetujuan untuk turut sama menduga lautan. Persetujuan awal telah dimateraikan. Dengan itu ia akan dilaksanakan sebagaimana telah dipersetujui bersama.

Sehingga tengah malam, sms dihantar tidak berjawab. Ini menjadikan saya serbasalah sama ada untuk bergerak secara solo atau menunggu sehingga dia sampai ke lokasi pertemuan. Dengan berpandukan kepada firasat dan rasa hati, saya memberanikan diri turun secara solo.Ternyata perjanjian telah tidak ditepati buat kali keberapanya....

Saya mengambil risiko dengan mengira ketenangan air walaupun diufuk barat kelihatan mencurigakan. Benar ...tidak berapa lama tiba dilubuk unpan angin mula bertiup agak deras. malas dihanyutkan angin dan lambungan ombak, sauh dilabuh. sambil menjala umpan. Berhasil. Namun akibat tapi sauh yang telah lama. ia putus dan terpaksa beralih ke lubuk 'mulih' untuk sementara waktu sambil melayan ikan kecil sementara angin beransur reda.

Tarikan si tanda menjadi pengubat segala kekecewaan hari berkenaan. Jadual air yang agakk tinggi tidak meminatkan diri untuk beraksi lebih lama. Jam 10 pagi balik kep pangkalan...

Tuesday, April 22, 2014

CATATAN MINGGU LALU

Hasil outing minggu lalu tidak bergambar...tetapi boleh digambarkan dalam catatan ini.

Geng IAT turun dengan hajat besar bagi mengulangi tangkapan minggu sebelumnya. Kedua-dua ahli yang turun berhajat sangat dengan gerong belang aka babatik. Jadi melihat kepada jadual air pasang surut, air begitu tinggi mencecah maksima 2.2 meter, ini bermakna, arus terlalu kuat dan melalui pengalaman bertahun dengan aktiviti memancing, biasanya ikan sukar untuk dijerat. Lubuk akan sunyi, danumpan tidak bersambut.

Mengetahui keadaan sedemikian, kesempatan yang ada dan terbaik adalah mencari umpan seawal petang hari Sabtu. Jadi kami turun untuk menjala umpan udang hidup sekitar jam 3:30 petang. Setiba dilubuk umpan misi mencari bermula dengan kawasan persekitaran yang keruh. Pencarian ini agak mudah dan udang bersaiz sederhana memang agak banyak. Tetapi misi kami bukan sahaja mencari umpan sebaliknya juga untuk singgah di lubuk 'ngintu'.

Seusai pencarian berakhir dengan umpan sekitar lebih 100 ekor semuanya, kami beralih ke lubuk ngintu untuk testing sama ada lubuk ini ada penghuni pada masa surut sedemikian. Malangnya tidak ada jawapan meskipun dihidangkan dengan fresh prawn sebagai hidangan. Lalu kami tidak mahu kempunan dengan hasil bergerak ke lubuk regular di tanda pancang sungai Sipitang. disini agak baik dengan ikan ketambak melayan hidangan kami. Akibat terlalu asyik kami terlupa air semakin surut. Akibat terlalu leka kami hampir saja tersadai. setelah memindahkan semua umpan kedalam kurungan khas dan diikat di tiang light house kami bergerak pulang ke pangkalan.

Pagi Ahad, kami bergerak seawal jam 5 pagi bagi memastikan tidak terlepas dengan pukulan awal pagi daripada penghuni lubuk, Seusai memeriksa umpan yang dikurung ditiang light house, ternyata masih segar meskipun terdapat beberapa ekor menjadi makanan kepada gerombolan yang lain....

Berlepas ke lubuk, dengan suasana gelap, mencari lubuk agak sukar kerana hanya berpandukan kepada cahaya mega yang menembusi bukit dan laut, namun dengan instinc yang kuat, lubuk ditemui.

Setelah berlabuk dan sauh mencengkam kuat. kami mula melabuhkan kail dengan umpan yang segartersedia.


Agak lama juga masa diambil untuk membangunkan penghuni dengan umpan segar. Setelah lebih 20 minit, baru tarikan pertama si putih bersaiz sederhana dapat dinaikkan dan berselag seli dengan ikan garut serta kerapu.

Setelah sekian lama tangkapan kami sekitar lebih 4 kg,. sambutan semakin kurang, kami mengambil keputusan untuk mencari umpan sebagai tambahan kepada yang tinggal seitar 20 ekor dalam stok kami. Pencarian ini memberikan kami pengajaran bahawa, dari lubuk ke lubuk pencarian dibuat, ternyata tidak ada  berpenghuni, untung lah kami telah mengambil umpan awal pada petang sebelumnya. sekiranya kami memaksa untuk turun seperti biasa, ternyata kami akan hampa. setelah puas mencuba dan tidak berhasil, kami pulang ke pangkalan dan bersyukur dengan apa yang ada untuk hari berkenaan...

Mingu depan untuk aksi berganda......InshaAllah....

Tuesday, April 15, 2014

TARGET ....





Ini adalah target bagi aktiviti hujung minggu ini,. In Sha Allah mudah-mudahan rezeki dimurahkan olehNya..




Monday, April 14, 2014

CORETAN SUKA SUKA



Hasil 13.4.14 di laut SMPO. Hasil keseluruhan bagi trip dari jam 6 pagi - 10 pagi 6.3 kg



Gambar bawah kelihatan spesis BABATIK seberat 2.3 kg yang menjadi tropi utama bagi trip berkenaan. Kelihatan juga lain-lain hadiah sagu hati daripaa pelbagai medal  seperti ikan putih  dan si tanda hitam disamping si hitam penyibuk aka kerapu.




Geng regular IAT Mr Sullivan, mengangkat tropi pertama dan kedua setelah  tiba di rumah. Trip kelmarin agak baik terutama sekali pada awal pagi setelah tiba di lubuk dimana ikan begitu frenzy...namun menjelang jam 10 pagi air seakan mati yang menyebabkan si penyibuk galak membedal umpan disamping umpan  menjadi mangsa di pemakan kaki. Kelihatan juga sotong bersais lengan budah ingin mencuri umpan...



sedikit close up bagi tropi kemenangan utama...


PUKULAN AHAD

Sabtu, telah memikir untuk aktiviti Ahad. Langkh pertama adalah meminta pengesahan daaripaa geng regular IAT. SMS diterima hari Ahad beliau ada jdual tugas gantian. Lantas panggilan dibuat kepada geng gantian IAT untuk mengajak aktiviti esok (Ahad). Malangnya telefon bimbit tidak dapat dihubungi. Walau bagaimanapun, selang beberapa minit, geng regular telah membatalkan hasrat untuk kerja gantian sebaliknya setuju untuk aksi jangka pendek. Kerana dalam sms awal saya hanya akan turun sehingga jam 10 pagi dengan trip dimulai seawal jam 5 pagi.

Air kelihatan amat cantik disamping umpan yang agak mudah diperolehi di lubuk terbilang.... Dengan tidak mengambil umpan berlebihan, kami berlepas ke lubuk "mengintu" yang tidak pernah dilawati sebelumini. Ia merupakan tanda yang sekian lama terbiar. sebaik umpan dilabuh kelibat siikan putih mula kelihatan meskipun saiz agak biasa. Tarikan ahli IAT yang ketiga yang seberat hampir 1 kg menambah semangat. Namun saya cuma bertahan dengan  si ikan tanda bersaiz table, yang tarikannya  hampir-hampir menenggelamkan salah satu kail yang di letak diatas perahu tanpa dikunci.

Setelah beberapa lama, tarikan semakin hambar, kami mengambil keputusan ke satu lagi tanda yang agak terbiar. disini hanya tarikan anak kerapu yang melayan umpan kami. Kami mengambil keputusan kembali ke lubuk awal tadi dengan tidak mahu berikan dengan tanda pelampung yang tersedia. Hanya beberapa minit menunggu terikan mega bermula. Dalam hati terdetik'this is it'. Tarikan yang telh lama dinanti tiba akhirnya. Perlawanan dari buritan perahu hingga ke  ceruk perahu telah dimaklumi bahawa si mangsa adalah bersaiz agak mega.

Setelah bertarung lebih kurang 5 minit kelibat simangsa terlihat kuning berbelang...ternyata dia adalah penghulu pada trip kali ini. Dengan hasil 6.3 kg keseluruhan, cukup untuk aktiviti hari ini. gerong belang aka bebatik seberat 2.3 kg adalah  pertarungan terbilang bagi bulan April....

Minggu depan mungkin akan turun di lubuk yang sama.....

Wednesday, January 15, 2014

DUA AKSI SATU LAPORAN

Trip Sabtu bersama geng regular IAT yang hanya berkesempatan untuk aksi Sabtu, kerana selepas ini beliau yang bekerja dengan syarikat swasta akan menukar hari rehat beliau ada Ahad. Trip ini adalah trip pembukaan untuk 2014.

Mencari umpan hidup hanya di sekitar laut Pelakat, saiz udang yang diperolehi hanya cukup untuk aksi spesis ikan  sepuluh sen. Mendapat umpan sekitar 200 ekor cukup untuk aksi berkenaan.

Menuju di lubuk batu timbul memang tidak mengecewkan setakat ini. dengan pelbagai spesis seperti ikan putih, ketambak dan sulit memang boleh memuaskan hati.

disebabkan perubahan air yang mendadak, akibat banjir dan hujan lebat menjadikan kelibat ikan sukar diramal. Akhirnya kami berpindah ke JFSFI tetapi nasib yang sama berlaku. Dengan tangkapan sekitar 4.5kg cukup untuk bekalan beberapa hari.

Rehat pada  Ahad, namun cuti umum pada Selasa diambil peluang  untuk mengulangi aksi pada Sabtu. Berteman salah seorang geng IAT yang kurang untuk dapat beraksi secara regular, kesempatan ini tidak ditolak oleh beliau. Disebabkan tidak selalu beraksi secara regular juga barangkali membuatkan beliau MABUK LAUT pada aksi kali ini. Beberapa kali beliau menambah jumlah air laut dengan muntah beliau.( hehehe mauk..)

Saya seakan memahami dengan penghun lubuk hanya mengggunakan joran dan reel junior supaya aksi lebih menarik dengan joran yang lembut dan tali yang kecil. Tarikan GT junior bersaix 350 gm seakan bertarung dengan saiz mega dengan aksi tarik menarik.

Dengan hasil tangkapan sekitar 3kg dalam cuaca yang sejuk dan hujan kami mennghabiskan trip sejurus jam 1 tengahari.

Friday, January 10, 2014

TUNGAP


Spesis ini  merupakan sebahagian daripada spesis ikan putih. Dikenali dengan nama 'tungap' di kalangan penduduk tempatan. Mencari makanan dalam kumpulan kecil berbanding dengan ikan daripada spesis GT. Saiz ikan ini tidak besar seperti GT yang boleh mencecah sehingga 25kg seekor, tetapi tungap setakat ini tidak melebihi 4kg seekor.

Di daerah Sipitang spesis ini biasanya boleh didapati antara bulan Mac hingga Jun. Spesis ini juga mempunyai skill melawan dan bertenaga. Jika dibandingkan dengan GT, ikan jenis ini lebih leper sedikit sedangkan GT lebih tebal. Umpan sesuai yang digunakan untuk memerangkap spesis ini adalah udang hidup, ikan tamban bersaiz kecil dan bilis segar.

TIPS MEMANCING


Tidak ramai yang mengetahui bahawa lubuk ikan tidak semestinya ditempat yang dalam berpuluh meter, tetapi dengan kedalaman kurang daripada 3 meter juga mempunyai penghuni yang cukup banyak sekiranya terdapat kombinasi beberapa faktor, antaranya

Faktor Pertama

Keadaan air yang sesuai, iaitu ada arus sama ada air sedang naik pasang atau sedang surut. Arus pula tidak begitu deras dan tidak juga perlahan sangat. Keadaan arus akan mempengaruhi 'behavior' ikan. Selain itu air tidak juga terlalu jernih dan tidak pula terlalu keruh. Jika terlalu keruh ikan akan menjadi kurang aktif, manakala jika terlalu jernih pula, ikan akan mudah terganggu oleh sebarang pergerakan dari atas bot. Suhu air juga mempengaruhi ikan. Sekiranya suhu air terlalu sejuk biasanya lubuk akan sunyi kerana ikan akan meningggalkan lubuk berkenaan dan berhijrah ke lubuk yang suhu air sedikit panas  dan sesuai. Biasanya hujan kurang mempengaruhi suhu air, walau bagaimanapun jika air sungai melimpah ke kuala, ia sedikit sebanyak mempengaruhi suhu air. Tiupan angin dan ribut berpanjangan terutama sekali dari negara bercuaca sejuk seperti Jepun, Korea dan China boleh mempengaruhi suhu air. 

Faktor Kedua

Umpan memainkan peranan penting dalam aktiviti memancing. Jenis umpan yang sesuai biasanya adalah terdiri daripada udang hidup, sotong mahupun bilis 'pusu' bagi kebanyakan penduduk Sabah. Namun  adajuga ikan yang boleh meratah mata pancing kosong contohnya cencaru boleh dipancing menggunakan apollo, ikan baracuda dan ikan tenggiri menggunakan alat yang berkilau seperti keratan besi steel yang dibuat khas. Dalam banyak keadaan taknik 'menipu' ikan menggunakan umpan palsu ini sedikit lambat menarik perhatian ikan berbanding menggunakan umpan hidup.


Faktor Ketiga

Bunyi bising  juga kerap mengganggu ikan terutama sekali jika memancing secara berkumpulan. Bunyi bising akan menakutkan ikan dan jika ikan berkumpulan ia akan menjadi takut dan terganggu. Selain itu dalamkeadaan tertentu terdapat juga gangguan daripada ikan yang lebih besar seperti ikan baracuda. Jika spesis ini ada berhampiran, ikan yang lebih kecil akan takut dan meninggalkan lubuk buat seketika. Jangan hairan jika ikan tengah frenzy tiba-tiba sunyi dan sepi. Ini adalah akibat ikan pemangsa sedang turut mencari habuan di bawah anda.

Thursday, January 09, 2014

ROD PANCING PAKAI BUANG?????

Macam pampers budak bunyinya....

Begitulah pengalaman saya tiga minggu lalu apabila mengunjungi sebuah kedai pancing yang begitu populer di sekitar Kota Kinabalu. Tertarik dengan tawaran harga dan design yang dikira boleh tahan saya memutuskan untuk membelinya.

Pada aksi pertama semasa saya turun memancing seorang diri, memang pancing ini dijadikan sebagai pembuka tirai dan dipadankan dengan reel jenama Penn yang berwarna hitam. Disebabkan nasib kurang baik ketika itu, pancing ini tidak sempat diuju oleh pemangsa besar, walaupun saya percaya reel saya dengan jenama Penn boleh menerima asakan lebih ganas jika ada pemangsa.

Masih mengharapkan pancing ini boleh membuktikan yang terbaik, saya juga membawa sekali lagi beraksi pada trip minggu lalu. Walau bagaimanapun, saya agak terkejut apabila pancing ini didapati patah dihujungnya sepanjang hampir satu kaki. Kesosakan ini membuatkan pancing ini tidak lagi dapat berfungsi  dan terpaksa dibersarakan awal daripada perkhidmatannya.

Apa yang dapat diperhatikan kepada produk ini adalah, berkemungkinan jenama ini adalah daripada jenis tiruan dijual untuk mengabui mata pembeli dengan jenama terbilang. Atau berkemungkinan juga jenama ini terdiri daripada produk yang di'reject' daripada kilang yang tidak memenuhi kualiti tetapi telah terlepas kepada pasaran akibat daripada tamak para peniaga sendiri. Akhirnya..pengguna yang mendapat kerugian....

Tuesday, January 07, 2014

DIA MUNCUL LAGI

Kesempatan pada cuti awal tahun mingu lalu sambil mengurus persekolahan anak yang memasuki tahun dua di SK Pekan Sipitang  membolehkan saya berjumpa dengan nelayan part timer semasa sedang menunggu anak balik di pintu pagar sekolah. Meskipun kesempatan ini terhad, tetapi bagi peminat  aktiviti tempur di laut maklumat sedikit amat berharga untuk mengetahui apa  perkhabaran yang berlaku di laut dalam satu-satu masa.

Digelar dengan nama Gani Yandah (Rendah dalam dialek tempatan) merupakan nelayan part timer yang hanya keluar untuk memancing pada hujung minggu. Ini kerana beliau berkhidmat sebagai pemandu bas sekolah milik beliau sekitar pekan Sipitang.

Dalam kesempatan ini beliau bercerita mengenai amukan ikan tenggiri di perairan JTySFI. Menurut beliau ada nelayan yang berjaya memperoleh sehingga 4 ekor dengan anggaran berat 4-6 kg setiap ekor. Namun untuk menjerat spesis ini bukan satu tugas mudah. Ini adalah kerana spesis ini mempunyai 'taste' yang tinggi disamping mempunyai gaya tahan dan taktikal yang pintar.

Apa yang saya maksudkan dengan taste yang tinggi adalah, spesis ini lebih berminat dengan umpan hidup seperti kembung, selar atau belanak. Jika menggunakan umpan mati harapan untuk mendapat sambaran adalah kecil, kerana sifatnya sebagai pemangsa yang aktif. Walau bagaimanapun, jika menggunakan umpan mati, umpan yang paling sesuai adalah 'ikan parang' yang kulitnya berkilau sambil dibuai air. Namun menggunakan umpan jenis ini memerlukan sekurang-kurangnya dua mata pancing yang dicangkun antara kepala dan tengah bagi mengelakkan serangan dibahagian ekor dan jika ini berlaku kita akan berputih mata.

Satu lagi taktik kotor ikan tenggiri adalah sikapnya untuk melepaskan diri daripada pemancing. Biasanya sejurus tertancap mata pancing ia akan melarikan tali sekuat mungkin, dan dalam berapa saat ia seolah-olah telah melepaskan diri. Dalam keadaan inilah pemancing harus menggulung tali pancing secepat mungkin supaya tegang dengan tujuan mengelakkan si tenggiri memutuskan tali pancing. Gigi tajam si tenggiri memang terkenal dengan tabiat memutuskan tali pancing. Perlakuan menarik kencang dan mengendurkan talipancing berlaku sehingga beberapa kali. Itulah tabiat si tenggiri. Jika ingin bertarung dengan spesis ini pastikan kita mempunyai stamina yang kuat disamping tahu taknik untuk mengalahkannya.

Disebabkan spesis ini mempunyai gigi yang tajam, perambut dawai atau wire leader amat penting. Jika menggukakan mono besar kemungkinan kita berputih mata olehnya.......

Monday, January 06, 2014

PERMATA YANG HILANG????

Beberapa hari yang lalu, geng IAT mendapat info lagi setelah sekian lama tidak dapat dikesan oleh petualang laut, spot si ikan cermin ditemui oleh nelayan tempatan dan masih berfungsi seperti sekian lam dengan stok penimbal yang masih kekal sebagai fixed deposit bak pengundi Sabah kepada BN dan UMNO.

Berita yang diterima amat mengujakan apabila bekalan yang telah diteroka menghasilkan getaran dan permainan yang boleh bertahan sehingga 15 minit setiap kali. Ini bukan cerita palsu jika lubuk ini diteroka asal tahan tenaga dan '  senjata sulit ' berfungsi dengan baik dan selalu di'servis' dengan mengunakan pelincir bermutu tinggi. Masakan tidak setiap pertarungan jika si putih gebu bersaiz mega boleh mencapai 5kg atau lebih. Rekod tertinggi yang dipegang oleh geng IAT adalah 5.5kg dari lubuk  berkenaan. Manakala khabar tak sahih kelmarin ada yang mencecah 6kg dengan tangkapan terkecil sekitar 4kg.

Spesis cermin memang mempunyai tenaga yang cukup kuat dan kudrat yang hebat. Pengalaman yang pernag tercipta hampir penulis mengaku kalah apabila menggunakan tali 25lb dengan drag Okuma 3000 dan joran berkapisit  6-12lb menyebabkan semua anggota berasa sakit dan lenguh akibat enjutan demi enjutan yang semakin mendalam.

Dalam mengingati pengalaman bertarung dengan si cermin seberat 5.5 kg  kami terpaksa membuka tali sauh sebelum berjaya menaikkannya dengan hanyutan hampir 50 meter dari tempat asal pancing ditarik. Manakala pengalaman paling buruk adalah semasa satu gelung tali pancing dengan kapisiti 120 meter habis ditarik tanpa dapat disekat walaupun dengan mengetatkan drag. Larian ini mengosongkan tali dalam drag dan yang hanya mampu dibuat adalah membiarkan larian sehingga kegulungan terakhir. Larian sedemikian tidak dapat ditahan oleh reel jenama Ryobi ketika itu.

Kini harapan amat kuat untuk mencari permata yang hilang berkenaan dalam masa yan terdekat..........

TUAH, CUCU HANG LI PO

Kegagalan untuk turun pada Sabtu untuk pembuka tirai 2014  di laut sedikit mematahkan semangat hari berkenaan. Pada har tersebut tidak ada seorang pun geng yang ingin membuka lembaran baru di tahun baru 2014. Maklumlah dengan tahun baru semua sibuk untuk aktiviti keluarga dan rancangan masing-masing.

Meskipun saya bersedia awal dan meninja pangkalan selepas subuh, namun dengan kudrat seorang diri, saya membatalkan juga hasrat untuk turun seorang diri. Ini memikirkan untuk memunggah peralatan seorang diri begitu memenatkan tambahan pula air berada pada paras 1.0m dan sedang turun dengan derasnya. Tidak mahu rela tersadai di muara saya terus membatalkan hasrat dan mengangkut peralatan ke dalam kereta semula.

Pada Ahad hari seterusnya memang tidak ada rancangan untuk melabuh pancing, kerana fikiran tertumpu untuk rehat bersama keluarga. Walau bagaimanapun, permintaan untuk turut beraksi pendatang baru dari negeri Hang Tuah pada malam Ahad tidak dapat ditolak. Saya menyediakan peralatan secukupnya untuk trip cucu Hang Li Po beraksi.

Kami turun seawal selepas subuh bagi mengelakkan tersadai di muara sungai yang akan surut mencecah 0.3m pada sekitar jam 6.30 pagi. Peralatan dan perahu disediakan dan kami bertolak sekitar jam 5:30 pagi dan sempat menghirup udara pagi di gigi laut. Sebenarnya jarang sekali dapat menikmati pemandangan indah 'anugerah Allah' sebegini. Ini adalah hadiah tahun baru yang cantik diawal pagi.

Kami menuju ke lubuk umpan dengan kadar perlahan supaya tiba di lubuk umpan setelah pagi beransur cerah. Keadaan air begitu cantik dengan sedikit keruh untuk memudahkan umpan dijala. Lubuk yang dicari memang berbaloi dan saya menekadkan diri hanya untuk mengambil sekitar 60 -70 ekor umpan hidup sahaja. Setelah berpuas hati dengan jumlah yang ada, kami berlepas ke lubuk yang dihajati.

Sebaik melabuh pancing, permainan tarik menarik bermula. Pendatang baru dari Melaka kelihatan sungguh seronok melayan larian-larian si ikan putih bersaiz sederhana. Pada awalnya kelihatan beliau masih perlu mempelajari banyak taknik melayan si ikan yang sangat frenzy pada pagi berkenaan. Sehingga jam 9:00 pagi kami telah kehabisan umpan. Begitulah laparnya si penunggu lubuk pada pagi berkenaan.

Memandangkan muasa sungai masih lagi belum dapat dilalui untuk balik ke pangkaklan, dan minyak bot masih dikira cukup untuk kembali ke lubuk umpan, saya memutuskan untuk mencari umpan di muara Sungai Lukutan aka Pelakat. Pencarian umpan bagi kali kedua juga agak mudah dan menyenangkan. Dapat mengumpul sekitar 50 ekor kami kembali ke lubuk.

Tandangan kami kali kedua juga mendapat sambutan tidak kurang dari sebelumnya. Setelah air berubah menjadi kuning disebabkan perubahan arus laut yang membawa keruh air sungai, mengakibatkan lubuk sukar dilihat dan arus yang begitu kuat, kami mengakhiri trip kami pada Ahad berkenaan. Tambahan pula muara sungai Sipitang sudah mula beransur dalam. Trip kali ini kelihatan cucu Hang Li Po berpuas hari dan tersenyum panjang. Dengan hasil leih 4.5 kg bagi trip singkat cukup untuk habuan hari ini selain sedikit untuk dihadiahkan kepaa rakan dan jiran....MINGGU DEPAN...mungkin giliran Si Tawih aka Si CERMIN mega.....